Questions + Answers

Questions

Answers

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Gaya Bahasa

Novel Jejak Monpus : Gaya Bahasa

Unsur Gaya Bahasa

(a)   Personifikasi. Contohnya, Bahang yang mula menggigit membuatkan penghuni yang berada di dalam bangunan yang berupa makmal kecil itu mulai resah; Burung-burung berkicauan menyambut kedatangan pagi.

(b)    Metafora. Contohnya, lautan masa; kotak ingatan; tirai kehidupan.

(c)   Simile. Contohnya, Cinta, seperti kerja, amat meletihkan; Cahaya itu tiba-tiba menebar tak ubah seperti renjatan dalam filem ‘X-Ray’; Tiba-tiba perasaan Fikri seperti dihempap beban yang berat.

(d)   Peribahasa. Contohnya, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi; bagai ikan pulang ke lubuk; seperti mencurah air ke daun keladi.

(e)   Inversi. Contohnya, Beberapa minit kemudian, mereka sudah memasuki pekarangan sekolah; Hampir mabuk mereka menghabiskan udang yang memenuhi piggan mi udang Wak Sino.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Plot – Binaan Plot

Novel Jejak Monpus : Binaan Plot

(a)    Permulaan – Pengarang memperkenalkan watak Zahar dan ibunya, Qistina. Zahar mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi dalam bidang Biologi, Fakulti Sains Hayat di Universiti Teknologi Malaysia. Minatnya amat mendalam terhadap serangga terutamanya spesies ulat bulu dan rama-rama.

(b)   Perkembangan – Zahar berasa sedih kerana ulat bulunya yang bernama Pus Pus semakin tenat dan memaksa Zahar mencari penggantinya. Zahar bersama dengan rakannya, Malcom ke Taman Paya Bakau di Tanjung Piai untuk mencari spesies ulat bulu tersebut. Kemudian, Zahar meneruskan pencariannya di Kem Kaizen bersama dengan Malcom dan Fikri. Namun begitu, mereka tidak berjaya. Akhirnya, Zahar dan rakan-rakannya ke Pulau Pisang. Mereka berjaya menemui spesies Monarch. Cantuman tisu Pus Pus dan Monarch telah menghasilkan ulat bulu yang cantik. Zahar menamakan spesies baharu tersebut Morgan.

(c)   Perumitan/Konflik – Beribu-ribu ulat bulu menyerang Kampung Maju Jaya. Penduduk kampung terkena penyakit. Ripin dan beberapa orang pemuda kampung datang ke rumah Zahar. Mereka menuduh Zahar sebagai punca serangan ulat bulu. Ibu Zahar, Qistina berjanji akan memanggil pihak Jabatan Kesihatan untuk menyiasat kejadian yang berlaku. Dua hari selepas itu, Unit Kawalan Bawaan Vektor, beberapa orang pegawai kesihatan, dan pihak polis dari Unit Forensik datang ke Kampung Maju Jaya. Mereka menggeledah makmal Zahar tetapi tidak menjumpai apa-apa selain ulat bulu dan pelbagai jenis rama-rama.

(d)   Klimaks/puncak cerita – Formula ciptaan Zahar hilang. Zahar dan Fikri melakukan siasatan. Hasil siasatan yang dilakukan mereka mendapati bahawa Ripinlah yang bertanggungjawab. Zahar dan Fikri ke balai polis untuk membuat laporan.

(e)   Peleraian – Zahar berjaya mencipta formula MONPUS gabungan ekstrak cecair antara Morgan dan Pus Pus. Formula ciptaan Zahar berjaya menghapuskan ulat-ulat bulu di Kampung Maju Jaya. Ripin pula telah ditangkap oleh pihak polis atas jenayah yang dilakukannya. Cerita berakhir dengan kegembiraan apabila Zahar berjaya menerima Anugerah Sains Negara yang disampaikan oleh ayahnya sendiri. Zahar juga berjaya memperoleh Biasiswa Kerusi Canselor daripada Universiti Oxford London. Kegembiraan Zahar makin bertambah apabila ayahnya melamar ibunya semula.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Sinopsis Keseluruhan

Sinopsis Keseluruhan

Novel Jejak Monpus : Sinopsis Keseluruhan

Sinopsis

Zahar seorang penuntut jurusan Biologi, Fakuti Sains Hayat di Universiti Teknologi Malaysia. Dia begitu obses dengan dunia serangga sejak kecil lagi. Minat Zahar terhadap dunia serangga terutamanya ulat bulu dan rama-rama makin mendalam hingga dia membina sebuah makmal kecil di sebelah rumahnya. Ibu Zahar, Qistina seorang guru. Beliau sentiasa memberikan galakan kepada Zahar untuk mengembangkan minatnya. Zahar seorang penuntut yang sangat berdedikasi. Zahar telah menerima banyak anugerah atas penyelidikan dan inovasi yang dijalankan bersama dengan pihak universiti.

Terdapat pelbagai spesies ulat bulu yang dikumpulkan oleh Zahar di dalam makmalnya. Namun begitu, terdapat satu spesies yang paling disayangi oleh Zahar yang dinamakannya Pus Pus. Keadaan fizikal Pus Pus yang lemah membuat Zahar risau. Zahar mengambil keputusan untuk ke Pulau Pisang bersama dengan Fikri dan Malcom. Zahar mahu mencari spesies baharu untuk diklonkan dengan Pus Pus. Dia bernasib baik kerana telah menjumpai seekor ulat bulu yang cantik yang dinamakan Morgan. Sesuatu yang aneh telah berlaku. Morgan mengalami perubahan, iaitu ada sayap kecil di kiri dan di kanan abdomennya.

Selepas itu, berlaku sesuatu yang menggemparkan penduduk Kampung Maju Jaya apabila beribu-ribu ulat bulu menyerang kampung tersebut. Penduduk kampung terkena penyakit. Ripin dan beberapa orang pemuda kampung datang ke rumah Zahar. Mereka menuduh Zahar sebagai punca serangan ulat bulu. Ibu Zahar, Qistina berjanji akan memanggil pihak Jabatan Kesihatan untuk menyiasat kejadian yang berlaku. Dua hari selepas itu, Unit Kawalan Bawaan Vektor, beberapa orang pegawai kesihatan, dan pihak polis dari Unit Forensik datang ke Kampung Maju Jaya. Mereka menggeledah makmal Zahar tetapi tidak menjumpai apa-apa selain ulat bulu dan pelbagai jenis rama-rama.

Warung kopi Pak Mail kecoh. Berita tentang serangan ulat bulu di Kampung Maju Jaya tersiar dalam surat khabar. Pak Mail, Manaf, Jusuh, Ahmad, Usop, dan Ripin menyalahkan Zahar atas kejadian yang berlaku di kampung mereka. Perbualan mereka terhenti apabila melihat Zahar dan ibunya tiba dengan kereta pacuan empat roda. Ripin meluru keluar dari warung itu. Dia bertekak dengan Zahar. Qistina cuba meleraikan mereka. Kata-kata kesat Ripin terhadap Qistina membuat Zahar berasa amat marah. Pergaduhan antara Zahar dan Ripin berlaku. Ripin melibaskan pisau lipat ke badan Zahar. Pisau tersebut terkena pada bahu Zahar. Zahar dirawat di Hospital Pontian. Akhirnya, Zahar dibenarkan keluar dari hospital dan diberi cuti sakit selama seminggu.

Zahar melayari internet dan membaca buku tentang ulat bulu. Zahar menemui jawapan dan penyelesaian bagi masalah yang melanda. Zahar mengajak Fikri menemaninya ke Pulau Pisang. Di Pulau Pisang, Zahar dan Fikri telah menjumpai beberapa ekor ulat bulu yang mirip dengan spesies Morgan. Ulat-ulat bulu itu sedang makan daun hijau bersaiz lebar. Zahar yakin bahawa Morganlah penawar bagi serangan ulat bulu di kampungnya. Pada suatu malam, Zahar terpaksa mengorbankan Morgan. Keesokannya selepas kuliah tamat, Zahar segera pulang ke rumah. Sewaktu masuk ke dalam makmal, Zahar panik kerana bahan uji kajinya, botol beracun, dan buku formulanya hilang.

Zahar dan Fikri melakukan siasatan dan mendapati Ripinlah yang bertanggungjawab. Zahar dan Fikri ke balai polis untuk membuat laporan. Seminggu kemudian, Ripin ditangkap polis untuk membantu siasatan berhubung dengan sindiket penjualan benih cambah sawit secara haram dan pemalsuan dokumen urus niaga menggunakan logo Sime Darby Plantation dan Felda Agriculture Services Sdn. Bhd. (FASSB). Kegiatan Ripin dan beberapa orang anak muda kampung terbongkar. Mereka didapati mengusahakan tapak benih cambah sawit secara haram. Semasa penggeledahan dibuat di stor Ripin, pihak polis menjumpai bahan penting yang hilang seminggu yang lalu.

Formula ciptaan Zahar akhirnya berjaya. Setelah dipatenkan, formula Zahar menjadi produk yang dikomersialkan dan diberi nama MONPUS. Nama MONPUS ialah gabungan antara ulat bulu Morgan dan Pus Pus yang telah dijejaki sekian lama. Akhirnya, melalui proses eksperimen yang rumit maka terhasillah racun serangga khusus untuk membunuh ulat bulu berintik hitam yang telah menyerang penduduk Kampung Maju Jaya.

Pada akhir cerita, Zahar berjaya menerima Anugerah Biasiswa Kerusi Canselor daripada Universiti Oxford London. Majlis tersebut menjadi detik yang paling menggembirakan Zahar kerana anugerah tersebut disampaikan sendiri oleh ayahnya, Dr. Baharuddin yang kini menjadi tenaga pengajar di universiti tersebut. Kegembiraan Zahar semakin bertambah apabila bapa yang sangat dirinduinya telah melamar ibunya semula. Serangan ulat bulu berintik hitam mempunyai hikmah yang tersembunyi. MONPUS bukan sahaja telah menyelamatkan nyawa tetapi telah menyambung hubungan yang sekian lama terputus. 

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Sinopsis Bab 7, 8, 9

Novel Jejak Monpus : Sinopsis Bab 7, 8, 9

Penemuan Baharu

– Zahar begitu asyik dengan uji kajinya

– Seekor ulat bulu spesies Monarch yang ditemuinya di Pulau Pisang dahulu dijadikan bahan uji kaji

– Cantuman tisu Pus Pus dan Monarch telah menghasilkan ulat bulu yang cantik

– Zahar menamakan spesies baharu tersebut Morgan

– Kilauan badan Morgan menyebabkan mata Zahar berasa pedih

– Zahar memakai cermin mata hitam untuk mengamati kecantikan Morgan

– Jika Zahar tidak pergi ke Pulau Pisang pasti spesies Pus Pus akan lenyap begitu sahaja

– Peristiwa pelik yang berlaku di Pulau Pisang masih menghantui fikiran Zahar

– Malcom mengatakan bahawa Zahar terlalu obses dengan ulat

– Fikri membuat kesimpulan bahawa Zahar terlelap seketika lalu bermimpi melihat ulat besar dan dilanda angin kencang

.

Serangan Waktu Malam

– Selepas sebulan berlalu, Kampung Maju Jaya diserang ulat bulu

– Penduduk kampung panik – anak-anak kecil menangis ketakutan – wanita terpekik kegelian

– Keesokannya, keadaan makin gempar – kanak-kanak merengek kesakitan dan kegatalan – orang dewasa turut mengalami kegatalan

– Penyakit sebegini tidak pernah menyerang Kampung Maju Jaya sebelum ini

– Keadaan ini menakutkan penduduk

– Zahar berasa resah dan curiga

– Sudah  berhari-hari  serangan  ulat  bulu  bermaharajalela  – penduduk kampung sudah puas menyembur racun serangga

– serangan ulat masih tidak reda

– Sebaik pulang daripada kuliah, Zahar menuju ke makmalnya

– Zahar terkejut apabila mendapati Morgan tiada di tempatnya

– Zahar mencari ulat itu di sana sini – tidak menemuinya – tertidur di dalam makmal

– Keesokannya Zahar terjaga – bingkas bangun – bergegas ke sarang Morgan

– Morgan mengalami perubahan ciri fizikal – ada sayap kecil di kiri kanan abdomen Morgan

– Keadaan semakin genting apabila Ripin datang ke rumah Zahar bersama dengan beberapa orang pemuda kampung

– Mereka menuduh Zahar sebagai punca serangan ulat bulu

– Qistina berjanji akan memanggil Jabatan Kesihatan untuk datang menyiasat kejadian yang berlaku

– Dua  hari  selepas  itu,  Unit  Kawalan  Penyakit  Bawaan  Vektor, beberapa orang pegawai kesihatan, pihak polis dari Unit Forensik datang ke Kampung Maju Jaya menyiasat kejadian yang berlaku

– Mereka menggeledah makmal Zahar – tiada apa-apa yang ditemukan selain ulat-ulat bulu dan pelbagai jenis rama-rama

– Petang itu, Zahar pergi ke balai raya untuk disoal siasat

– Pelbagai tuduhan ditujukan kepada Zahar

– Zahar menafikan semua tuduhan tersebut

.

Tercetus Perselisihan

– Warung kopi Pak Mail kecoh

– Berita tentang serangan ulat bulu di Kampung Maju Jaya tersiar dalam surat khabar

– Pak Mail, Manaf, Jusuh, Ahmad, Usop, dan Ripin menyalahkan Zahar atas kejadian yang berlaku di kampung mereka

– Perbualan mereka terhenti apabila melihat Zahar dan ibunya tiba dengan kereta pacuan empat roda

– Ripin meluru keluar – bertekak dengan Zahar

– Qistina cuba meleraikan mereka

– Ripin menuduh Qistina asyik membela anak sendiri – sikap Qistina yang suka menyibuk menyebabkan suaminya lari

– Zahar amat marah apabila mendengar kata-kata Ripin itu

– Bagi Zahar, tindakan Ripin mengata ibunya sudah keterlaluan

– Berlakulah pergaduhan antara Zahar dengan Ripin

– Ripin melibaskan pisau lipat ke badan Zahar – pisau lipat tersebut terkena pada bahu Zahar

– Zahar rebah ke tanah dan Ripin melarikan diri

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Sinopsis Bab 16, 17, 18, 19

Novel Jejak Monpus : Sinopsis Bab 16, 17, 18, 19

Misi Baharu

– Zahar menyimpan tekad untuk menyelesaikan masalah yang melanda kampungnya

– Kemarahan penduduk kampung perlu diredakan segera

– Selagi masalah ulat bulu tidak selesai selagi itulah Zahar risau

– Zahar teringat akan kata-kata ibunya pada malam sebelum ibunya bertolak ke Alor Gajah pada keesokannya – ibunya menyarankan Zahar memusnahkan makmalnya supaya orang kampung tidak mengata mereka lagi

– Zahar percaya bahawa kata-kata ibunya bukan dari hati – tentu ibunya sudah begitu runsing

– Zahar bangun – melangkah masuk – menuju ke sarang Morgan

– Zahar mencapai peralatan makmalnya

– Zahar yakin Morganlah penawar bagi serangan ulat di kampungnya

.

Selamat Tinggal, Morgan

– Zahar terlena di sofa di dalam makmalnya

– Malam tadi dia telah melakukan eksperimen dan sedang menunggu hasil tindak balasnya

– Zahar tersentak bangun

– Tiba-tiba Zahar teringat akan bahan uji kajinya semalam

– Zahar berasa sangat sedih kerana terpaksa mengorbankan Morgan

– Tiba-tiba Zahar dikejutkan oleh bunyi yang kuat – bunyi sesuatu jatuh ke tanah

– Zahar menyangka bahawa bunyi tersebut ialah buah durian gugur

– Zahar kembali ke tempat Morgan – ulat itu memang sudah tidak bernyawa

– Perlahan-lahan Zahar mengemaskan mejanya – perlu bersiap-siap untuk menghadiri kuliah

– Zahar keluar dan mengunci makmal – oleh sebab tergesa-gesa, kunci terlepas dari tangan Zahar

– Zahar terpandang puntung rokok yang masih membara di tanah – kehairanan

– Zahar tertanya-tanya siapa yang datang ke situ tadi

– Puntung rokok itu tentu ada kaitannya dengan bunyi benda jatuh yang didengarnya ketika leka memerhatikan Morgan

– Zahar menganggap bahawa semua itu mainan perasaannya sahaja

.

Tertewas

– Dalam perjalanan menuju tempat kuliah, fikiran Zahar berputar mengenangkan Morgan yang telah dikorbankannya malam tadi

– Fikri, Malcom, dan Mawar pasti terkejut mendengar perkhabarannya itu nanti

– Zahar menerangkan bahawa dia terpaksa mengorbankan Morgan kerana penawar yang dicarinya terdapat dalam badan Morgan

– Menurut Zahar lagi, Morgan bahaya – dia terpaksa memusnahkan Morgan kerana penawar yang diciptanya pun belum tentu dapat membunuh Morgan – spesiesnya akan membiak dan merangsang pembiakan ulat bulu berintik hitam yang lain

– Akhirnya, Fikri memahami penjelasan Zahar

– Selepas kuliah tamat, Zahar segera pulang ke rumah

– Sewaktu masuk ke dalam makmal, Zahar panik kerana bahan

uji kajinya, botol cecair racun, dan buku formulanya hilang

– Zahar dan Fikri melakukan siasatan dan mendapati Ripinlah yang bertanggungjawab

– Keesokannya pagi-pagi lagi, Zahar dan Fikri ke balai polis untuk membuat laporan

– Seminggu selepas laporan polis dibuat, Zahar dikejutkan dengan berita penangkapan Ripin

– Kegiatan haram Ripin dan beberapa orang anak muda kampung yang bersekongkol dengannya terbongkar – mereka didapati mengusahakan tapak benih cambah sawit secara haram

– Seluruh kampung gempar dengan berita penangkapan Ripin dan kawan-kawannya, serta jenayah yang dilakukan oleh mereka

– Berita yang paling menggembirakan Zahar, semasa penggeledahan dibuat di stor Ripin, pihak polis menemui bahan penting yang hilang seminggu yang lalu

.

Pertemuan yang Tidak Terduga

– Pihak Majlis Perbandaran Daerah Pontian dan Jabatan Kesihatan Pontian mula menjalankan operasi penghapusan ulat bulu

– Penduduk kampung berasa lega – suasana tenteram kembali

– Hari yang paling dinanti-nantikan tiba

– Kemenangan Zahar kali ini amat bermakna

– Sempena kempen memanggil pulang saintis Malaysia yang berkhidmat di luar negara, majlis diadakan pada hari itu turut mengundang saintis negara yang tersohor, wakil dari Universiti Oxford, London – beliau seorang anak tempatan yang telah lama berhijrah ke luar negara

– Tokoh berkenaan akan mengenal pasti penuntut yang layak menerima Biasiswa Kerusi Canselor, seterusnya melanjutkan pelajaran pada peringkat Ijazah Tinggi (Doktor Falsafah)

– Zahar dipersilakan naik ke pentas

– Zahar diumumkan sebagai penerima Anugerah Biasiswa Kerusi Canselor mewakili salah seorang pelajar Asia

– Profesor Dr. Baharuddin dijemput naik ke pentas untuk menyampaikan anugerah tersebut

– Zahar seperti mengenali lelaki di hadapannya – Zahar memanggil lelaki itu “ayah”

– Zahar dan Dr. Baharuddin berpelukan

– Dr. Baharuddin menghampiri Qistina – meminta maaf kepada Qistina

– Dr. Baharuddin menyatakan hasratnya untuk memperisteri Qistina semula

– Serangan ulat bulu berintik hitam mempunyai hikmah yang tersembunyi

– MONPUS bukan sahaja telah menyelamatkan nyawa tetapi telah menyambung kembali hubungan yang terputus

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Tema dan Persoalan (Novel Tingkatan 1)

Novel Formula Termodinamik : Tema dan Persoalan (Novel Tingkatan 1)

TEMA

Kegigihan dalam mencipta inovasi dalam bidang pertanian oleh dua orang remaja. Amir dan Usamah gigih berusaha mencipta inovasi dalam bidang pertanian dengan mengubah suai mesin rumput dengan dua kegunaan iaitu memotong rumput dan membajak sawah dengan menggunakan Formula Dua Hukum Termodinamik.

.

PERSOALAN

  • Sikap iri hati dalam diri

– Aswan begitu iri hati terhadap Amir dan Usamah. Dia juga mahu mengubah suai mesin seperti yang dilakukan oleh Amir dan Usamah agar mendapat nama di hati orang kampung.

  • Kegigihan melakukan inovasi

– Amir dan Usamah begitu gigih menyiapkan mesin 2 dalam 1. Mereka mengubah suai mesin rumput agar boleh melakukan dua fungsi iaitu memotong rumput dan membajak sawah.

  • Cinta yang tidak kesampaian

– Cinta Amir terhadap Asma tidak kesampaian apabila dia mendapat tahu bahawa Asma telah ditunangkan dengan Asman abang kepada Aswan.

  • Kesibukan dalam mencari rezeki

– Kesibukan Damit dalam urusan perniagaan amat dikesali oleh Amir kerana Damit tiada masa untuk bersama-sama keluarga.

  • Kasih sayang seorang ibu

– Intan begitu risau akan keselamatan Amir dan Usamah kerana tidak menghubunginya sejak mereka keluar pagi tadi.

  • Keinsafan atas perbuatan yang lalu

– Aswan menyesali perbuatannya mengkhianati Amir dan meminta maaf kepada Amir.

  • Tanggungjawab seorang anak

– Walaupun baru pulang dari Manila dan sibuk dengan urusan perniagaan, Damit tetap bersama-sama ibunya di hospital.

  • Kesungguhan mendapat  ganjaran  yang  menguntungkan

– Kesungguhan Amir dan Usamah mengubah suai mesin rumput menggunakan Formula Termodinamik telah menyebabkan mereka menerima Anugerah Saintis Muda dan ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

.

Posted in Bahasa Melayu | Leave a comment

Sinopsis Bab 13, 14, 15, 16 (Novel Tingkatan 1)

Novel Formula Termodinamik : Sinopsis Bab 13, 14, 15, 16 (Novel Tingkatan 1)

Sinopsis Bab 13

Setelah merancang beberapa strategi dan membuat persiapan untuk memerangkap penjenayah, mereka pun bergerak ke tempat persembunyian selepas waktu Isyak. Usamah menjinjit radio kompo mini, Adnin membawa tali dan menjinjit beg plastik yang sarat dengan alat memerangkap penjenayah manakala Zaid mengangkat bateri kereta yang telah dicas. Mereka melalui hutan tebal. Walaupun berasa seram namun Amir menguatkan semangatnya memandangkan dia merupakan ketua bagi rombongan itu. Zaid mengatakan bahawa mereka akan lebih seronok jika Asma turut serta. Amir juga berasa hairan tujuan Asma ke Kampung Pimping. Adnin yang pada mulanya hendak menceritakan sesuatu tetapi dihalang oleh Zaid.

Sesampainya di tempat yang dituju yang berdekatan dengan pangkalan, Usamah mengambil telekung nenek dan memakainya. Usamah kelihatan seperti orang mati. Kemudian, Amir mula memberikan arahan dan mereka memulakan rancangan mereka. Penjenayah-penjenayah itu telah ditakutkan oleh bunyi salakan anjing dan apabila mereka hendak berlari keluar mereka ternampak hantu yang di lakonkan oleh Usamah. Kemudian, kedengaran arahan suara Usamah melalui pembesar suara agar mereka menyerah diri dan tempat mereka telah dikepung. Amir pula menjerit meminta mereka mengangkat tangan. Usamah memberhentikan aksinya.

Penjenayah itu memarahi mereka kerana tertipu. Usamah mengherdik mereka dan menyatakan bahawa mereka pencuri. Mereka menyangkal dakwaan Usamah. Mereka hanya diupah untuk menjaga barang-barang itu sahaja. Kedua-dua orang pemuda itu bernama Lahop dan Oyong dan berasal dari Kampung Warisan, Papar. Adnin mengenali mereka dan memeriksa barang-barang yang dicuri itu. Terdapat pelbagai alat cetak rompak kaset, pemacu pena komputer, video, dan pita rakaman lagu. Amir membelek-belek pemacu pena komputer. Zaid mengarahkan agar mereka berdua dibawa ke balai polis. Amir kehairanan apabila menjumpai pemacu pena yang menyimpan pelbagai rahsia di situ.

Sinopsis Bab 14

Sejak malam tadi, Kampung Warisan dilanda hujan lebat. Semalaman Amir tidak dapat melelapkan matanya kerana memikirkan penemuan pena pemacu dan penangkapan dua orang pemuda itu. Pemuda-pemuda itu menafikan sekeras-kerasnya bahawa mereka mencuri barang-barang itu. Amir dan Usamah berpendapat bahawa pemacu pena yang ditemukan itu ada kaitan dengan Formula Termodinamik mereka yang telah hilang. Tiba-tiba, Usamah memberitahu Amir bahawa ada seseorang yang menghantar e-mel kepada Amir. Amir cuba berkomunikasi dengan penghantar e-mel itu. Walau bagaimanapun, penghantar emel itu tidak mahu memeperkenalkan dirinya, hanya memohon maaf kepada Amir.

Zaid tiba ke rumah itu dalam keadaan yang basah kuyup. Menurutnya, dia ditimpa hujan semasa dalam perjalanan ke situ. Usamah menanyakan Asma yang masih belum pulang-pulang. Zaid menceritakan bahawa Asma telah bertunang dengan Asman. Amir begitu kecewa mendengar berita itu. Tanpa disedarinya, tangannya berdarah kerana menekan selusur kayu dengan kuat apabila mendengarkan berita pertunangan Asma. Usamah merawat luka Amir dan mengatakan bahawa Amir sepatutnya meluahkan perasaannya terhadap Asma. Tetapi semuanya telah terlambat kini. Adnin tiba di rumah itu dalam keadaan yang tergesa-gesa. Dia meminta mereka membantu orang-oang kampung yang telah dipindahkan ke balai raya kerana air telah naik setinggi satu meter. Mereka bergegas untuk memberikan bantuan termasuklah Amir.

Sinopsis Bab 15

Aswan, Majibon, dan Fikri telah dihanyutkan oleh arus deras. Mereka berusaha untuk menyelamatkan diri. Aswan telah berpaut pada sebatang kayu yang agak besar. Dia tercari-cari rakan-rakannya. Tidak lama kemudian, Fikri dan Majibon pun berpaut pada batang kayu yang sama. Mereka amat menyesal kerana tidak mendengar larangan ibu Aswan daripada menghadiri majlis sempena Hari Krismas. Pada pendapat mereka mungkin bencana itu balasan daripada Allah. Mereka amat menyesal. Mereka amat berharap agar ada orang yang datang menyelamatkan mereka. Kedengaran sayup-sayup suara orang memanggil nama mereka tetapi sahutan mereka tidak didengari oleh pasukan penyelamat kerana ditenggelami oleh bunyi angin yang kencang dan hujan yang lebat. Fikri sudah semakin tidak berdaya begitu juga Majibon. Mereka hanya berserah dan membiarkan diri mereka dihanyutkan oleh arus deras.

Tiba-tiba, Amir, Zaid, Usamah dan Adnin menemukan mereka. Mereka berusaha untuk menarik Aswan dan rakan-rakannya naik ke dalam bot dan dihantar ke khemah yang didirikan. Amir Apabila Aswan sedar, orang pertama yang dilihat ialah Amir. Dia meminta maaf kepada Amir kerana telah mengkhianati persahabatan mereka. Dia juga memberitahu bahawa dialah yang mencuri storan data Formula Dua Hukum Popular Termodinamik dan hampir memindahkan aset syarikat bapa Amir ke akaun bapanya. Kini, barulah Amir tahu bahawa Aswanlah orang yang menghantar e-mel kepadanya. Amir memaafkan Aswan.

Sinopsis Bab 16

Amir dan Usamah telah berjaya memenangi Anugerah Saintis Muda kerana kejayaan mencipta mesin 2 dalam 1. Mereka ditawarkan melanjutkan pelajaran dan mendapat biasiswa. Kelihatan banyak saudara mara dan penduduk kampung berkumpul di lapangan terbang bagi menghantar Amir dan Usamah. Aswan dan rakan-rakannya juga tidak terkecuali. Aswan menyerahkan bungkusan kecil kepada Usamah dan Amir. Asma juga hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada kedua-duanya. Dia memberikan jambangan bunga kepada Amir dan Usamah. Amir bertanyakan khabar Asma. Ternyata Amir tidak bertepuk sebelah tangan tetapi malangnya dia terlambat untuk meluahkan perasaan kepada Asma. Dia terpaksa menerima ketentuan Ilahi.

Masa keberangkatan pun telah tiba. Mereka bersalam-salaman. Amir dan Usamah melangkah masuk ke balai berlepas. Usamah menasihati Amir agar menguatkan semangatnya untuk meninggalkan orang-orang tersayang dan bertekad untuk membawa kejayaan yang gemilang nanti.

.

Posted in Bahasa Melayu | Leave a comment

Sinopsis Bab 10, 11, 12 (Novel Tingkatan 1)

Novel Formula Termodinamik : Sinopsis Bab 10, 11, 12 (Novel Tingkatan 1)

Sinopsis Bab 10

Sudah hampir dua jam, Damit, Intan, dan dua adik perempuan Amir, iaitu Joy dan Lily menunggu di luar bilik pembedahan. Semuanya gelisah menunggu nenek dibedah. Tidak lama kemudian, pintu bilik pembedahan dibuka dan mereka mendapatkan doktor yang merawat nenek mereka. Menurut doktor tersebut, nenek berada dalam keadaan stabil. Pembedahan dilakukan pada bahagian buku lali nenek kerana dikhuatiri dijangkiti kuman. Mereka berasa lega apabila mendengar penerangan doktor.

Setelah nenek sedar, mereka menanyakan keadaan nenek. Joy menanyakan sama ada nenek mahu makan atau tidak. Nenek memberitahu mereka bahawa dia tidak lapar. Mereka memujuk agar nenek merasa bubur ala semenanjung yang dibuat oleh Usamah. Nenek makan untuk tidak menghampakan cucu-cucunya. Nenek berjanji untuk membuat kuih bahulu kesukaan Usamah dan roti jala kesukaan Amir apabila dia sembuh nanti. Nenek gembira dikelilingi oleh anak dan cucu-cucunya.

Sinopsis Bab 11

Aswan asyik menghadap komputernya. Dia tidak lagi mempedulikan model ciptaannya kerana tekun membuat ramalan untuk menembusi penstoran data baharu Syarikat Bahagia. Majibon dan Fikri sudah mula bosan kerana musim menanam sudah tiba tetapi projek mereka masih belum dapat digunakan lagi. Dia berasa malu dengan orang kampung kerana sebelum ini mereka mencanangkan mesin ciptaan mereka.

Akhirnya, Aswan berjaya menembusi data penstoran Syarikat Bahagia dan memberitahu kawan-kawannya. Mereka teruja. Aswan bercadang untuk mengubah wang 1.3 juta ke akaun syarikat bapanya tetapi ditegah oleh Fikri. Fikri menasihati Aswan agar tidak mengambil hak orang lain. Majibon mencadangkan agar mereka mengambil RM 10 000 dan pemiliknya tidak akan menyedarinya. Fikri tetap membantah tindakan tidak bermoral mereka itu. Fikri menggesa agar mereka menyiapkan model mesin ciptaan Aswan itu kerana malu dengan orang-orang kampung. Majibon mencadangkan agar mereka bekerjasama dengan Amir dan Usamah.

Aswan mencadangkan agar mereka menyalurkan wang RM 10 000 ke akaunnya. Fikri membantah dan mengugut bahawa dia akan meninggalkan Aswan sekiranya Aswan tetap dengan cadangannya itu. Aswan memujuk Fikri kerana dia tidak mahu kehilangan kawan. Sebaik sahaja terjaga daripada tidur, Amir terus ke komputernya untuk mencari Formula Termodinamik di bilik persendirian bapanya. Dia terkejut apabila mendapati data syarikat ayahnya sedang dialihkan. Amir panik dan segera mengejutkan Usamah yang sedang tidur. Mereka berusaha untuk menyekat pengaliran data itu.

Amir bergegas untuk memberitahu bapanya, namun malangnya belum sempat dia berbincang dengan bapanya, bapanya bergegas ke pejabat setelah mendapat panggilan penting. Amir amat kecewa kerana bapanya begitu sibuk sehingga tiada masa untuk anak-anak. Amir berasa hairan kerana ayahnya tidak dapat mengesan maklumat syarikatnya yang telah bocor. Dia juga hairan kerana akauntan yang dibayar juga tidak menyedarinya kebocoran maklumat syarikat bapanya itu. Usamah menenangkan Amir dan memberitahu Amir bahawa data itu berjaya dikawal buat masa ini. Kemudian, Amir berjumpa dengan mamanya untuk memberitahukan hal yang telah berlaku sebelum mereka pulang ke kampung.

Sinopsis Bab 12

Intan mundar-mandir dan keresahan memikirkan Amir dan Usamah yang belum pulang. Intan terus memaklumkan kepada Damit sebaik sahaj Damit sampai di rumah. Damit meminta Intan bertenang kerana Amir dan Usamah sudah besar dan tahu menjaga diri. Intan memberitahu suaminya bahawa Amir akan menelefon atau menghantar e-mel sekiranya dia lewat. Intan menanyakan suaminya sama ada Amir ada memberitahunya sesuatu. Damit memberitahu isterinya, bahawa pagi tadi amir seperti hendak berbincang sesuatu dengannya tetapi dia tidak sempat hendak melayani Amir.

Intan memaklumkan kepada suaminya kemungkinan Amir hendak menceritakan kebocoran maklumat syarikat suaminya. Suaminya terkejut dengan berita tersebut. Dalam pada itu, Amir dan Usamah sampai di Kampung Warisan apabila hari mulai senja. Zaid dan Adnin memberitahu mereka bahawa mereka telah berjaya mengesan penjenayah di kampong itu. Pelbagai barangan yang ditemukan oleh mereka. Mereka hanya menunggu kata putus daripada Amir dan Usamah untuk memerangkap penjenayah itu. Zaid dan Adnin juga memaklumkan bahawa Asma tiada di rumah kerana mengikuti kakaknya ke Kampung Pimping, Membakut.

.

Posted in Bahasa Melayu | Leave a comment

Sinopsis Bab 16, 17, 18 (Novel Tingkatan 3)

Novel Justeru Impian Di Jaring : Sinopsis Bab 16, 17, 18 (Novel Tingkatan 3)

Sinopsis Bab 16

Setelah lima hari berlalu, Syahir berjaya ke peringkat penentuan juara lelaki perseorangan. Syed Amiri yang dicanang sebagai juara akhirnya tewas di peringkat separuh akhir. Laluan Syahir bertambah mudah setelah menang menentang pemain dari China, lawan seterusnya cedera selepas 5 minit perlawanan  dan menarik diri. Akhirnya Syahir bakal bertemu lawan dari Indonesia, Andri Minarwan (26 tahun). Khabar emaknya bertambah sihat melegakan hati Syahir. Wan Najlah turut memberikan kata-kata semangat kepadanya. Kata-kata temannya itu melekat dalam ingatannya.

Haji Marzuki tiba-tiba memanggilnya ketika pegawai lain menyaksikan perlawanan akhir kategori wanita. Haji Marzuki ingin memberitahu sesuatu perkara sebelum Syahir menentang Andri Minarwan. Haji Marzuki memaklumkan bahawa dia berjanji akan meletak jawatan sekiranya Syahir gagal menjadi juara pada malam itu. Syahir terharu dengan kepercayaan dan keyakinan jurulatihnya terhadap dirinya itu.

Sinopsis Bab 17

8.20 malam, perlawanan bermula. Mulutnya tidak henti-henti berzikir untuk mengurangkan rasa gemuruh. Andri memulakan servis pertama. Pemain tangan kanan ini bijak mengawal gelanggang dan mendahului mata perlawanan. Namun Syahir menukar corak permainannya dan berjaya memenangi set pertama. Set kedua berlalu namun berlaku ketidakadilan pengadil gelanggang. Dalam masa yang sama Syahir mengalami sakit di bahagian abdomennya. Syahir tetap meneruskan perlawanan. Dia sering mengingati nasihat jurulatihnya supaya bersabar dan tidak mengikut emosi seperti yang berlaku di Johor Bahru. Akhirnya Syahir berjaya menentang pemain Indonesia itu dan dinobatkan sebagai juara kategori lelaki. Semasa sesi penyampaian pingat Syahir tidak dapat menahan kesakitannya dan rebah di atas podium tersebut.

Sinopsis Bab 18

Syahir terpaksa menjalani pembedahan Apendisitis dan terlantar di hospital Jakarta bebeapa hari. Selepas itu, dia pulang ke Malaysia. Syahir bersyukur kerana diberi nikmat untuk hidup lagi. Ketika tiba di hospital Universiti, keluarganya telah menunggunya. Syahir terus memeluk emaknya dan memberikan pingat kemenangan kepada emaknya. Abang Long menyatakan rasa bangganya kepada adik bongsunya itu. Syahir berharap selepas ini dia berjaya ke Sukan Olimpik pula.

.

Posted in Bahasa Melayu | Leave a comment